Misbun maafkan Norza
Kuala Lumpur: Drama membabitkan legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mungkin berakhir dengan 'happy ending' apabila individu terbabit menerima permohonan maaf susulan penamatan kontraknya selaku pengarah pembangunan remaja negara, minggu lalu.
Perkara itu disahkan pengurus peribadi Misbun, Nor Kamal Ahmad yang menyatakan jurulatih berusia 63 tahun itu mengakui hatinya kembali sejuk selepas mendengar permohonan maaf secara terbuka dibuat Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam satu sidang media, semalam.
Malah, beliau berkata, Misbun turut mengakui sememangnya mempunyai hubungan istimewa dengan individu nombor satu BAM itu sejak dahulu lagi.
"Apabila Tan Sri Norza sendiri yang membuat permohonan maaf, Misbun mengakui beliau berasa lega. Misbun menerima permohonan maaf itu dan anggap perkara ini selesai, beliau tidak mahu memanjangkan isu ini lagi.
"Pada masa ini, Misbun belum bersedia untuk bertemu dengan pihak media dan beliau meminta saya untuk membuat kenyataan kepada media berhubung perkara ini.
"Apa yang saya sampaikan, inilah yang diluahkan sendiri oleh Misbun," katanya ketika dihubungi pemberita selepas usaha mendapatkan reaksi Misbun di kediamannya, hari ini, tidak berhasil.
Isnin lalu, Arena Metro melaporkan Misbun 'terasa hati' terhadap tindakan Norza yang seolah-olah lepas tangan selepas jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam memutuskan untuk menamatkan kontraknya lebih awal.
Namun, menerusi sidang media semalam, Norza yang mengakui mempunyai hubungan istimewa dengan Misbun membuat permohonan maaf kepada legenda negara itu sambil menjelaskan wujud masalah komunikasi antara kedua-dua pihak yang menjuruskan kepada kemelut melanda ketika ini.
Malah, Norza berbesar hati menawarkan supaya Misbun kembali menggalas tanggungjawab selaku pengarah pembangunan remaja sehingga kontrak asalnya tamat hujung tahun ini.
Malah, jika beliau tidak berminat, pihaknya sedia bertemu dengan jurulatih berkenaan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda supaya tiada pihak berasa teraniaya.
Sementara itu, berkaitan tawaran yang dikemukakan BAM kepada Misbun, Kamal berkata, jurulatih itu mahu menunggu surat rasmi daripada badan induk itu terlebih dahulu sebelum memberi sebarang komen lanjut.
"Setakat ini, belum ada sebarang surat tawaran rasmi daripada BAM. Apabila sudah ada surat tawaran rasmi nanti, barulah Misbun akan mempertimbangkan dan buat keputusan.
"Beliau mahu lihat dulu apa isi kandungan dan perincian mengenai tawaran diberikan BAM itu," katanya.

Comments
Post a Comment